Tuesday, 4 October 2011

PENUBUHAN MASJID NEGERI SARAWAK

Masjid Pertama Pada Tahun 1847
Masjid Pertama yang dibina di Bandar Kuching ialah pada tahun 1847. Masjid Besar inilah yang pertama dan paling tua di Negeri Sarawak dan telah menjadi lambang Islam di negeri ini. Masjid telah dibina oleh seorang Ketua Orang Melayu Sarawak yang termasyur dan ternama, iaitu Datu Patinggi Ali dan keluarganya.

Imam- Imam
Orang yang pertama menjadi imam di Masjid Negeri Sarawak ini ialah Datu Patinggi Hj Abdul Gapur iaitu menantu kepada Datu Patinggi Ali. Kemudian tugas imam seterusnya di ambil alih oleh Datu Bandar Haji Bolhassan iaitu anak kepada Datu Patinggi Ali dan imam yang ketiga ialah Datu Imam Abdul Karim kemudian di ambil alih oleh Abang Haji Mataim anak kepada Datu Patinggi Ali. Begitulah sejarah imam-imam yang bertugas mulai pada tahun 1847 hingga tahun 1890.

Pembinaan Tambahan & Pengelokkan Masjid Negeri Sarawak
Perkembangan penduduk yang beragama Islam telah bertambah ramai pada tahun 1880 di Bandar Kuching. Oleh itu pembinaan tambahan dan pengelokkan telah dibuat untuk keperluan umat Islam menunaikan ibadah. Manakala bahan simen telah mudah di dapati di Negeri Sarawak pada masa itu. Maka tiang-tiang dinding dan lantai masjid pun dibuat daripada simen. Akan tetapi atap masjid masih menggunakan atap belian sampai ke tahun 1920.
Perubahan Masjid Besar pada tahun 1930
Seterusnya pada tahun 1929 para Daro-Dato dan masyarakat Islam dengan bantuan dari kerajaan Raja Brooke telah sama-sama berusaha membina dan memperelokkan Masjid Negeri ini dengan pembinaan pintu besar, jendela-jendela, mimbar dan kubah tinggi dan besar berwarna hitam. Bangunan Masjid Besar Sarawak ini menjadi bangunan yang paling cantik serta kemegahan bagi penduduk di Bandar Kuching pada zaman itu. Begitulah ringkasan cerita Masjid Besar Negeri Sarawak ini semenjak tahun 1847 hingga tahun 1967 yang mana telah menemui fasa perubahan dan pengubahsuaian mengikut rentak perubahan masa dan zaman. Masjid Besar yang megah ini berdiri teguh sebagai satu syiar Islam yang mulia hinggalah pada tahun 1967 perubahan yang seterusnya telah berlaku dengan perletakan batu asas untuk Masjid Negeri yang baru dibina di tapak yang sama pada tahun yang sama.
Pembinaan Masjid Negeri Sarawak yang baru pada tahun 1967
Kaum muslimin Negeri Sarawak memang telah lama sedar betapa perlunya Masjid yang sederhana besarnya di bina di dalam Bandar Kuching untuk menggantikan masjid yang lama.
Pada tahun 1958, Badan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Besar Kuching, Persidennya iaitu Tuan Haji Yusof Shibli, Mufti Negeri Sarawak, membentuk sebuah Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Tabung Derma Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Besar Kuching dengan setiausahamya ialah Ustaz Haji Abdul Kadir Hassan untuk memungut derma bagi memperbaiki masjid. Badan ini telah berhasil memungut lebih kurang RM30,000, khususnya dari orang-orang Islam di Negeri Sarawak sahaja. Namun begitu jumlah ini dirasakan tidak mencukupi untuk melaksanakan maksud itu, maka dengan yang demikian dalam tahun 1964, Yang Berbahagia Dato Abang Haji Sapuani, P.N.B.S dipilih menjadi Yang di-Pertua Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Besar Kuching dan ahli-ahli jawatankuasa beliau berazam hendak meneruskan tugas yang telah diselenggarakan oleh Badan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Besar Kuching pada tahun-tahun yang lalu, tetapi kali ini melanjutkan kutipan derma kepada semua ahli dermawan, tidak kira bangsa atau agama. Maka dengan yang demikian, tertubuhlah satu badan yang dinamakan Jawatankuasa Kerja Tabung Derma Masjid dengan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato Abang Haji Marzuki Nor, P.N.B.S.
Dalam bulan Februari, 1966, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, dijemput untuk meletakkan Batu Asas Masjid yang hendak diperbaharui itu. Setelah melihat keadaan Masjid dan memandang betapa pentingnya Negeri Sarawak mempunyai sebuah Masjid yang lengkap dan sederhana besarnya, sebagai lambang Islam dan perpaduan, maka beliau mencadangkan supaya masjid lama itu diroboh dan digantikan dengan sebuah masjid yang baru. Cadangan ini telah diterima dan usaha-usaha pun diteruskan untuk memungut lebih besar lagi derma, kerana kos membina sebuah masjid baru dijangkakan menelan belanja kira-kira RM1 juta.

Tapak Masjid
Masjid baru ini mampu menampung jemaah seramai 4,000 orang terletak di sebuah kawasan di atas bukit bekas tapak masjid lama, seluas 4.04 ekar. Ketika itu di hadapan jalan raya besar menghala ke Bangunan Secretatiat , Batu Peringatan Perang, Pejabat Penerangan Malaysia. Klinik-klinik dan pejabat-pejabat kerajaan yang lain. Sebuah tempat penginapan iaitu “Arif Hotel” merupakan sebuah hotel yang ulung dimiliki oleh seorang bumiputera Sarawak yang beragama Islam dan di sebelah hadapannya pula terletak sebuah Dewan Masyarakat, satu kemudahan dan tempat permainan. Berhadapan sekali dengan masjid tersedia tempat letak kenderaan dan di bahagian belakangnya pula mengalir air sungai Sarawak yang sememangnya telah masyur, manakala di sekeliling masjid ialah tanah perkuburan orang-orang Islam sejak dulu-dulu lagi.

Sumber Kewangan
Sumber kewangan yang paling banyak datangnya dari kerajaan pusat. Pada awalnya sebanyak RM 250,000 kerana menurut kewangan dari kutipan dari orang ramai sebanyak RM 250,000. Ketika perletakkan batu asas oleh Bapa Malaysia kita. Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan sifat keikhlasan beliau telah menambah lagi sebanyak RM 100,000.
Satu rombongan yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato Haji Abdul Rahman Yakub terdiri Yang Berbahagia Dato Abang Haji Marzuki Nor, Tuan Presiden Majlis Islam Sarawak Al-Ustaz Mohamad Mortadza Hj Daud mengadap Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak Al-Haj, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, menerangkan tentang kekurangan yang timbul. Maka dengan jasa baik beliau menambah pula sebanyak RM150,000. Jadi jumlah kesemuanya dari kerajaan pusat ialah sebanyak RM 500,000 dan beliau berjanji akan membantu lagi kiranya ada kekurangan. Kerajaan Negeri juga tidak ketinggalan akan menghulurkan bantuan.

Derma dan Sumbangan
Jesteru itu, derma yang mencurah-curah datangnya bukan sahaja dari para dermawan yang beragama Islam malah banyak juga diterima dari orang-orang perseorangan dan syarikat-syarikat perniagaan yang bukan Islam.
Ini membuktikan perpaduan di kalangan rakyat dan kaum yang tinggal dalam negara Malaysia dan negeri jiran kita. Kepada ahli dermawan yang bijaksana, tidak kira besar atau kecil sumbangannya, Ahli jawatankuasa Masjid Negeri Sarawak berterima kasih dan berdoa ke hadrat Allah SWT agar melimpahkan rahmat dan hidayat kepada mereka. Nama-nama mereka tetap harum semerbak selagi Masjid Lambang kegamaan ini masih tegak berdiri dari zaman ke zaman.

No comments:

Post a Comment