Friday 14 February 2014


Berpegang teguh dengan agama

“Dan sesiapa teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).” (surah Ali-Imran 3:101)

Beriman dengan Allah SWT dengan sebaik2 iman
Iman yang tiada sekelumit pun dalam hati syak dan ragu2

“Dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang berlaku itu sengan tenang dan sabar).” (surah al-Taghabun 64:11)
Beramal dengan Al-Quran dan Sunnah

“Maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab.” (surah Taha 20:123)

Berilmu
Ilmu membawa kepada mengenal Allah dan mendapat hidayah-Nya. Allah berfirman, “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu.” (surah Fatir 35:28)

Tidak menjadi hamba hawa nafsu
Katakanlah lagi: “Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari dari orang2 yang mendapat hidayah petunjuk.” (surah al-An’am 6:56)
Bermujahadah
“Dan orang yang berusaha dengan bersungguh2 kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan2 Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (surah al- Ankabut 29:69)

Zinnirah(Hamba Ummar Al Khattab)

Mata Kasarnya Buta Tapi Mata Hatinya Celik.

Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah menjadi harta yang tiada ternilai bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan. Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam mempertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda. Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah S.W.T

Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba. Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah.

Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah Zinnirah. beliau telah menerima dengan sepenuh hati. Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keIslamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meninggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah S.A.W dan agama Islam sebelum keIslamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.W. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.

Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalah rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya.

"Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan." Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T. dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan imannya semakin tinggi.

Dengan taufiq hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua.

Ummar Al Khattab



masa belum memeluk islam , Umar merupakan seorang yang kejam. Banyak darah yang dianggap musuh dihirupnya dan banyak nyawa melayang di hujung pedangnya.

Bahkan begitu kejamnya dia waktu itu, anak perempuannya sendiri yang masih kecil di tanam hidup-hidup demi memelihara wibawanya sebagai pemuka suku Quraisy yang terpandang .

Umar adalah seorang saudagar yang berjaya. Dia putera Nufail dari Bani Adi, sebagai suku Arab yang sangat dihormati. Umar terkenal sangat gagah perkasa, garang dan kejam. Dia sangat teguh dengan keyakinan yang dianutinya serta rela berkorban apa sahaja, demi menjaga martabatnya selaku orang Quraisy dan sesuai dengan kepercayaan jahiliyyah.

Umar bin Khattab masuk islam pada tahun kelima Bi'tsah atau lima tahun setelah Rasullulah menyerukan dakwahnya dan dia memperoleh gelaran Al-Faruq dari Nabi, ertinya orang yang mampu memisahkan kebenaran dan kebatilan.


Peristiwa Umar masuk ke agama islam sangat menarik, yang mencerminkan keperibadian Umar yang jujur dan berhati lembut , meskipun dia memiliki sifat kasar dan fizikalnya kelihatan keras. Ada yang berpendapat bahawa keislaman Umar terjadi kerana mukzijat Al-Quran.



Kejadian yang mengharukan itu berlaku di Makkah Al-Mukarramah. Kekejaman Umar bin Khattab ketika itu berada dipuncaknya. Kemana-mana dia selalu menghunus pedangnya untuk membunuh Rasullulah saw. Seluruh warga kota sangat takut melihat kebengisan wajah umar.

Suatu hari ketika Umar berjalan di tengah terik matahari yang menyengat. Dia menjejaki Laila dan suaminya, Amir bin Rabiah yang hendak menaiki untanya untuk pergi ke negeri Hasbyi.

"Hei , hendak ke mana kamu?,"teriak Umar.

"Engkau telah menganiaya kami dan seluruh kawan-kawan yang mengikut seruan Muhammad saw dengan kejam. Sekarang kami mahu berpindah ke bumi Allah , ke tempat di mana dapat beribadah dengan tenang tanpa diganggu lagi,"jawab Laila dengan pasrah.

"Hm, mudah-mudahan Allahmu yang tidak kelihatan itu menyertai kamu,"sahut Umar dengan marah. Kemudian dia pergi sambil mulutnya menyumpah-nyumpah.

Dipesimpangan jalan , Umar bertemu dengan Saad bin Abi Waqash, salah seorang sahabat terdekatnya.

"Mahu kemana kamu, anak Khattab. Mengapa kamu menghunus pedangmu,"sapa Saad bin Abi Waqash.

"Aku hendak mencari Muhammad , si hamba celaka itu. Akan aku cincang tubuhnya dengan pedangku ini sampai lumat. Si bodoh itu sungguh berani mendirikan agama baru sehingga terputus hubungan persaudaraan kita. Orang-orang kita dianggapnya tolol , berhala-berhala kita dicaci maki , agama nenek moyang kita dicemuhnya dan masih bertumpuk-tumpuk lagi kejahatannya. Akan aku habisi nyawanya si bedebah laknat itu!"

"Ah,Umar! kau ini lebih kecil dan lebih hina dari Muhammad,"kata Saad seperti tidak melihat wajah Umar yang merah padam menahan marahnya. "Bagaimana kamu akan membunuhnya?Kamu kira semua keluarga keturunan Abdul Mutalib akan diam berpangku tangan. Mereka pasti akan memburu dan membunuhmu."

Sejenak Umar tercengang , dia tidak menyangka bahawa sahabatnya akan berkata seperti itu kepada dirinya. Dengan kasar kemudian dia menengking;

"Rupa-rupanya kamu sekarang telah berani terhadapku , Saad!. Ini petanda kamu juga telah bertukar agama. Benar apa yang kukatakan?"

Saad bin Abi Waqash hanya diam mengangguk.

"Kurang ajar !,"teriak Umar dengan marah." Jadi kamu sudah mengikut ajakan Muhammad itu? Dengan demikian antara kita halal untuk saling menumpahkan darah, Saad . Akan aku habiskan nyawamu sekarang juga!"

"Hai Umar! Kepada orang lain dan sahabatmu kamu berani bersikap kejam, tetapi kepada adik dan iparmu kamu diam sahaja,"kata Saad seraya mencabut pedangnya untuk menghadapi serangan Umar .

"Apa yang kamu katakan? Apakah Fatimah dan suaminya juga menjadi pengikut Muhammad ?"

"Apakah kamu berpura-pura tidak tahu , atau memang tidak tahu bahawa mereka telah lama menjadi pengikut Muhammad yang taat"

"Kurang ajar!" menggigil gigi Umar menahan marah . Tidak disangka adik dan suaminya juga telah memeluk Islam. "Akan kubunuhh mereka berdua. Akan kupenggal kepala mereka!"

Dengan cepat Umar meninggalkan Saad untuk menuju ke rumah adiknya dengan masih menghunus pedang. Dipecahkan pintu rumah Fatimah dengan keras, yang waktu itu bersama suaminya , Saad bin Zaid sedang belajar Al-Quran dari Khabab bin Art, bekas hamba Umar sendiri.

Jika tiba-tiba guruh , barangkali tidaklah terkejut Fatimah dan suaminya , serta Khabab waktu itu. Mereka sangat ketakutan dengan kedatangan Umar yang kelihatan marah.

"Kudengar kamu dan suamimu sudah bertukar agama . Harap berita itu tidak benar,Fatimah," tanya Umar dengan nada tinggi.
Melihat perkara itu Umar semakin melonjak darahnya. Dia melompat ke arah Said bin Zaid , dipukulnya suami adiknya itu sehingga tertiarap. Tidak sampai disitu sahaja Umar menendang perutnya berkali-kali seperti kerasukkan syaitan.

Fatimah yang selama ini sangat menghormati abangnya , apabila melihat perkara itu dengan spontan dia menerajang ke arah abangnya, namun dengan dengan segera tangan Umar menampar mukanya. Darah menitis dari sudut bibir Fatimah tetapi seperti tidak dirasakannya dia membesarkan dadanya dan berkata;

"Hai musuh Allah , Bunuhlah kami! Kami adalah pengikut Muhammad , kami tidak gentar sedikit pun menghadapi kematian . Silakan kamu aniaya diri kami sepuasnya, tetapi sehujung rambut pun kami tidak akan berbalik langkah. Kami tetap mengikut ajaran Muhammad , yang menjadi Nabi Allah sampai akhir hayat kami."

Mendengar ucapan adik perempuannya yang berani penuh keteguhan , hati Umar terketar-ketar . Dia sangat hairan melihat sikap adiknya waktu itu. Padahal biasanya, adiknya yang disayangi itu begitu patuh dan selalu mendengar apa yang diucapkan tanpa berani membantah. Tetapi hari ini telah berubah. Apalagi ketika melihat bibir Fatimah berlumuran darah , hatinya menjadi remuk seakan menyesal dengan apa yang telah dilakukannya.

Perlahan Umar menolong adik iparnya , Said bin Zaid untuk berdiri dan membantunya duduk dikerusi.

Waktu Umar bimbang , tidak tahu apa yang selanjutnya dilakukan, dia melihat lembaran kulit kambing yang digengam oleh Fatimah.

"Fatimah , apa yang kamu pegang itu. Cuba kamu bawa kemari, aku ingin melihatnya sebentar,"kata Umar.

"Tidak boleh ! Kamu adalah musuh Allah , kamu tidak boleh melihatnya. nanti pasti kamu akan mengoyak-ngoyakkannya!,"jawab Fatimah dengan marah.

"Aku bersumpah tidak akan merosakkannya . Jika kamu tidak mahu memperlihatkannya padaku , cuba kamu bacakan untukku."

Perlahan-perlahan Fatimah membaca lembaran Al-Quran surah Taha ayat 1-8. Dengan penuh perhatian Umar mendengarkannya, hatinya begitu terpesona oleh keindahan bahasa dan keagungan isi ayat yang diperdengarkan oleh adiknya. Dia benar-benar terharu.

"Thaha. Kami tidak turunkan Al-Quran itu kepadamu agar engkau menjadi berat, tetapi sebagai peringatan bagi orang-orang yang takut. Diturunkan oleh Allah yang menciptakan bumi dan langit. Tuhan yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas arasy. Kepunyaan-Nya semua yang ada dilangit ,semua yang ada di bumi, dan semua yang terdapat di antara keduanya, serta semua yang terpendam di bawah tanah. Jika kamu meneruskan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan semua yang lebih tersembunyi. Dialah Allah , tidak ada Tuhan selain Dia. Dia yang memiliki nama-nam yang sempurna.

Terketar hati Umar , Singa Padang Pasir itu longlai sekujur tubuhnya, dan menitis air matanya. Mulutnya yang biasa mencaci dan mengumpat , waktu itu tergumam dengan ucapan penuh kekaguman.

"Oh, betapa indahnya dan mulianya"

Kemudiam sepuas-puas hatinya dia berteriak dengan lantang; "Asyhadu alla illaaha illallah, wa asyhadu anna Muhammada rasullulah." Kemudian dia berpaling ke arah Fatimah.

"Di mana Muhammad sekarang?Aku harus bertemu dengannya. Aku akan berikrar dihadapannya."

Melihat keadaan waktu itu menjadi sebaliknya . Khabab yang sejak tadi mengigil ketakutan , sekarang berani menjawab:"Beliau berada di rumah Al-Arqam , sedang berdakwah."

"Di mana rumah Al-Arqam?"tanya Umar .

"Di kampung Shafa."

Umar bin Khattab dengan segera ke luar rumah adiknya masih dengan pedang . Kali ini bukan untuk membunuh Rasullulah , melainkan untuk melindungi keselamatannya.

Sejak itu Umar memeluk islam. Perkara itu membuat sahabat-sahabat yang dulu semasa kafir,menjadi sedikit segan untuk mengganggu Rasullulah saw.

ASIAH BINTI MAHAZIM(ISTERI FIRAUN)-RATU SYAHADAH




Tersebutlah alkisah di negeri Mesir terdapat kerajaan yang diketuai oleh raja yang terakhir bernama Fir’aun yang terkenal dengan keganasan dan tidak berperikemanusian. Setelah kematian isterinya beliau hidup bersendirian tanpa teman hidup. Pada ketika itu tersebutlah satu kisah di mana seorang gadis jelita dari keturunan keluarga Imran yang baik-baik dan solehah yang bernama Siti Asiah yang sentiasa menjadi sebutan di kalangan pemuda-pemuda Mesir kerana keperibadian dan kejelitaannya.


Kisah kejelitaan Siti Asiah telah sampai ke telinga Fir’aun dan suatu hari beliau teringin untuk memperisterikan Asiah sebagai permaisurinya. Maka diutuskan seorang Menteri bernama Haman untuk merisik. Ibu bapa Asiah telah bertanya kepada tuan empunya diri tetapi Asiah telah menolak lamaran tersebut dan berkata kepada kedua ibu bapanya bahawa Fir’aun adalah seorang raja yang ingkar kepada Allah SWT dan tidak berperikemanusiaan.

Tidak lama kemudian Haman, utusan Fir’aun datang kembali untuk bertanyakan tentang lamaran tersebut dan alangkah marahnya beliau setelah mendapat tahu yang lamaran Fir’aun telah ditolak. Ibu bapa Asiah telah dicaci dan dihina. Haman kemudian telah pulang dan memberitahu kepada Fir’aun akan berita buruk tersebut dan Fir’aun telah menjadi marah dan memerintahkan supaya kedua ibu bapa Asiah ditangkap. Mereka telah diseksa dan dimasukkan ke dalam penjara. Setelah itu Asiah ditangkap dengan menggunakan kekerasan dan kemudian dibawa ke istana Fir’aun dan bertemu dengannya. Di hapadapan Fir’aun, Asiah kemudiannya telah diketemukan dengan kedua ibu bapanya di dalam penjara. Asiah amat sedih melihat keadaan kedua orang tuanya yang disiksa oleh Fir’aun.

Kemudian Fir’aun berkata:

“Hai Asiah, jika engkau seorang anak yang baik, tentulah engkau akan sayang terhadap orang tuamu, maka oleh kerana itu engkau boleh pilih satu antara dua. Kalau kau menerima lamaranku bererti engkau akan hidup senang dan akan aku bebaskan kedua orang tuamu. Dan sebaliknya jika engkau menolak lamaranku,maka aku akan perintahkan mereka untuk membakar hidup-hidup kedua orang tuamu di hadapanmu.”

Oleh kerana ancaman itu, maka Siti Asiah terpaksa menerima pinangan Fir’aun akan tetapi beliau telah meletakkan beberapa syarat:

1. Bahawa Fir’aun harus membebaskan kedua ibubapanya.
2. Harus membuatkan rumah yang indah lengkap dengan perkakas
3. Bahawa orang tuanya harus dijamin kesihatan beserta makan dan minumnya.
4. Bahawa Asiah bersedia menjadi isteri Fir’aun, hadir dalam acara-acara tertentu tetapi tidak bersedia tidur bersama Fir’aun.

Sekiranya permintaan-permintaan tersebut tidak dipersetujui, beliau rela mati dibunuh bersama kedua ibu bapanya.

Akhirnya Fir’aun bersetuju menerima syarat-syarat tersebut dan memerintahkan agar rantai belengu yang ada di kaki dan tangan Asiah dibuka. Kini Asiah telah hidup mewah dan tinggal bersama-sama Fir’aun di dalam istana yang indah. Akan tetapi ia tidak membawa pengaruh terhadap kehidupan peribadi Asiah. Asiah tidak pernah engkar terhadap perintah agama dan beliau tetap taat mengerjakan ibadah kepada Allah SWT. Pada malam hari beliau selalu mengerjakan solat dan beribadah kepada Allah SWT. Beliau sentiasa berdoa agar kehormatannya tidak disentuh oleh orang kafir miskipun suaminya Fir’aun. Bagi menyelamatkan Asiah dan menjaga kehormatannya, Allah SWT telah menciptakan iblis yang menyamar dirinya sama seperti rupa Asiah untuk tidur bersama Fir’aun.

Fir’aun sebenarnya mempunyai seorang pegawai yang amat dipercayai dan rapat dengannya yang bernama Hazaqil. Hazaqil telah berjaya merahsiakan identitinya yang sebenar. Hazaqil amat taat dan beriman kepada Allah SWT. Beliau adalah suami kepada Siti Masyithah yang bekerja sebagai juru hias istana yang juga amat taat dan beriman kepada Allah SWT.

Pada suatu hari maka terjadilah perdebatan yang hebat antara Fir’aun dengan Hazaqil di mana Fir’aun telah menjatuhkan hukuman mati terhadap ahli sihir yang beriman kepada Nabi Musa AS. Hazaqil menetang keras terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada mereka semua kerana mereka semuanya beriman kepada Allah SWT. Mendengar akan kata-kata Hazaqil, Fir’aun menjadi marah. Akhirnya Fir’aun dapat tahu yang Hazaqil telah engkar kepada beliau dan kemudiannya telah dijatuhkan hukuman mati kepada Hazaqil. Hazaqil menerimanya dengan tabah dan tidak merasa gentar demi untuk membela kebenaran. Hazaqil telah meninggal dunia dengan kedua-dua tangannya diikat pada pohon kurma dengan tembusan beberapa anak panah. Isterinya yang bernama Masyitah amat sedih sekali di atas kematian suaminya yang tersayang itu. Beliau sentiasa dirundung kesedihan dan tiada lagi tempat mengadu kecuali kepada 2 orang anaknya yang masih kecil. Pada suatu hari Masyitah telah mengadu nasib kepada Asiah mengenai nasib yang menimpa dirinya. Di akhir perbicaraan mereka, Asiah juga telah menceritakan tentang keadaan dirinya yang sebenar. Hasil dari perbicaraan itu, barulah kedua-duanya mengetahui perkara sebenar bahawa mereka adalah wanita yang amat beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa AS.


ASIAH binti Mazahim merupakan seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam pemikirannya. Oleh kerana dia memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingan, dia dipaksa berkahwin dengan Firaun, raja Mesir yang berkuasa pada ketika itu.

Pada suatu hari ketika Asiah sedang duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak kayu terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.

"Ambil kotak itu dan bawa kepada beta," arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di tepinya.

Dayang itu berlari pantas ke arah kotak yang sedang terapung-apung di tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu itu dari permukaan sungai lalu dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungan kotak kayu itu.

"Comelnya bayi lelaki dalam kotak kayu ini!," jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.

Pada ketika itu, Firaun memerintahkan masyarakatnya membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia bermimpi bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan pemerintahan Firaun.

Apabila berita penemuan bayi lelaki itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi lelaki itu.

"Pengawal! Bunuh bayi ini sekarang..." Perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar Asiah.

"Bukankah kita tidak mempunyai anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya merayu supaya bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya.

' Dia akan memberikan manfaat kepada kita berdua apabila dewasa nanti," Asiah menghalang niat jahat Firaun dengan kata-kata bijaksananya.

"Baiklah. Saya tidak akan bunuh bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu," Firaun akur dengan permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.

Asiah memberi nama Musa kepada bayi tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.

Apabila nabi Musa mula berdakwah menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.

Pada suatu hari, Asiah duduk menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.

Asiah yang terkejut dengan kejadian itu terus berkata, "Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan izinnya."

"Dengan nama Allah," ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya dengan perasaan hairan.

"Ibu, adakah tuhan lain selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh Musa? Mengapa ibu sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa sewaktu kecil apabila dia akan dibunuh oleh ayah," anaknya bertanya pelbagai soalan kepada Asiah dan menanti jawapannya.

Manusia biasa

"Firaun, ayah kamu adalah manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah, tuhan semesta alam!" jawab Asiah tanpa perasaan takut dan gentar.

"Biar saya adukan perkara ini kepada ayah!," balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan pergi mengadu kepada Firaun.

Firaun yang mendengar aduan anaknya berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah mengikut ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Negara Mesir mengikuti ajaran Allah.

Orang yang mengingkari larangan itu akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya sudah mengikut ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya keluar dari agama Allah.

"Dengarlah nasihat saya, wahai Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.

"Keluarlah dari agama yang dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai hadiah," Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata manisnya.

"Saya tidak akan sekali-kali keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.

"Jika saya tetap dalam agama ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan istana kamu," tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan Firaun yang menyala dengan api kemarahan.

Usaha Firaun memujuk isterinya menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi Musa.

Namun, semua ikhtiarnya gagal dan tidak menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.

"Pengawal, tangkap Asiah dan bawa dia berjumpa beta sekarang!," perintah Firaun dengan nada keras.

"Oleh kerana kamu masih berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas kamu," kata Firaun lagi.

"Pengawal, bawa perempuan ini ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu ke bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.

"Biarkan bahang matahari yang panas, dan sejuk malam menyeksanya," Firaun meminta para pengawalnya menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.

"Allah! Allah! Allah!," mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu dijalankan.

"Ya Allah! Saya mohon supaya dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga," doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.

Akhirnya Asiah dapat melihat rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.

Selepas beberapa lama tempoh penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimat Allah di mulutnya.

Begitulah kisah wanita yang berhati waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa sehingga mati tanpa belas kasihan.